Wednesday, June 3, 2009

Peribahasa 4

AIR TAWAR SECAWAN DITUANG KE LAUT, TAKKAN DAPAT MENGHILANGKAN RASA MASINNYA.

Di mana ada air tawar secawan boleh mendatangkan kesan ke atas air laut? Kemasinan air laut itu tentu tidak terjejas.

Maksudnya pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban yang besar.

Biar pertolongannya sedikit tapi ikhlasnya besar. Besar peranannya.

Peribahasa 3

AIR DI CUCURAN ATAP, JATUHNYA DI PELIMBAHAN JUGA

Air hujan yang jatuh di bumbung rumah akan mengalir di cucuran atap terlebih dahulu. Air ini adalah bersih kerana berada di tempat yang tinggi. Namun, akhirnya jatuh juga di longkang (pelimbahan) yang mana kotor sebagaimana air yang lain juga.Maksudnya seorang anak walaupun dilahirkan bersih, semakin lama ia akan mengikut perilaku ibu bapa atau asal keturunannya.Jangan biar air jatuh di pelimbahan tetapi jatuh di takungan simpan. Guna didikan agama.

Peribahasa 2

ADAKAH DARI TELAGA YANG JERNIH ITU MENGALIR AIR YANG KERUH?

Kalau sudah perigi itu menghasilkan air yang jernih, sudah tentulah air yang mengalir keluar juga jernih. Memang tidak munasabah jika dari telaga yang jernih mengalir air yang keruh.Maksudnya ialah mana mungkin orang yang berpendidikan melakukan perkara-perkara keji atau mengeluarkan kata-kata kotor....Ingat!!! Ilmu didikan hati bukan didikan otak.

Peribahasa 1

ADAKAH AIR YANG PENUH DI DALAM TONG ITU BERKOCAK, MELAINKAN AIR YANG SETENGAH TONG ITU JUGA YANG BERKOCAK?

Tong ialah sebuah bekas yang biasanya besar dan berbentuk selinder yang kebiasaannya
digunakan untuk mengisi air. Sekiranya tong itu penuh dengan air, sudah tentulah air di dalam tong itu tidak berkocak.

Namun, sekiranya setengah sahaja tong berisi air sudah tentulah air itu akan berkocak akibat goncangan yang kuat.Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak berilmu juga yang banyak bercakap.Maka hati-hati bila bercakap.

Prof. Dr. Hamka pernah berkata kalau kita hendak lihat tahap pemikiran seseorang itu, lihatlah cara dia bercakap.

Pengenalan

Sebagai sebuah bangsa, sudah tentu sesuatu bangsa tersebut mempunyai harta yang membentuk identitinya. Harta-harta tersebut meliputi berbagai aspek hidup termasuk budaya, bahasa, agama dan sebagainya.

Orang Melayu sudah tentunya mempunyai harta yang bernilai tinggi. Selain Islam sebagai harta terbesar yang membentuk jatidiri orang Melayu, bahasa Melayu adalah merupakan harta terunggul yang perlu kita jaga bersama-sama.

Bahasalah yang menunjukkan identiti sesuatu bangsa. Bahasa jiwa bangsa.

Malangnya ketika ini, Bahasa Melayu kelihatan semakin dipinggirkan. Tidak perlu diceritakan panjang lebar di sini. Umum mengetahuinya.

Blog ini adalah usaha kecil saya untuk menimbulkan minat, menyedarkan minda betapa indahnya bahasa Melayu dalam konteks peribahasa, pantun dan sebagainya.

Semoga usaha kecil ini diberkati oleh Allah s.w.t.

Jumpa di 'post' akan datang..